PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah disyaki ketamin seberat lebih 50 gram dalam satu operasi di daerah ini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata suspek berusia 29 tahun itu diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 19 paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 54.62 gram dan nilai pasaran kira-kira RM8,193,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis ketamin dan ganja.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dengan najis dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah,” katanya.






