KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan yang mengendalikan pesawat malang yang terhempas pada 1976 dan meragut 11 nyawa termasuk Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens didapati beroperasi secara haram.
Memetik sumber Berita Harian, laporan Tribunal Bencana Australia yang dinyahklasifikasikan mendedahkan siasatan nahas itu menyatakan, Sabah Air menghantar draf manual operasinya pada hujung 1975 tetapi tidak diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam (CAD), ketika itu.
“Dalam hal ini, Sabah Air beroperasi secara haram,” jelas dalam laporan terbabit.
Melalui laporan sama, tribunal berkenaan berkata, beberapa fakta didedahkan semasa penyiasatan menunjukkan bukan sahaja amalan operasi yang lemah oleh Sabah Air, tetapi juga kegagalan di pihak CAD untuk memenuhi kewajipan mereka sebagai pihak berkuasa pensijilan tempatan.
Penemuan itu selaras dengan laporan Malaysia yang didedahkan baru-baru ini, yang turut mencadangkan pesawat Nomad itu beroperasi secara haram.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee, melalui Twitter semalam berkata, rekod laporan oleh pihaknya itu dinyahklasifikasi dan boleh dilayari di laman web Arkib Negara Australia.
“Kemalangan Double Six adalah tragis dan kami menghormati mereka yang kehilangan nyawa dan kehilangan besar yang dirasai oleh orang tersayang.
“Kerajaan Australia mengalu-alukan pengeluaran laporan Kerajaan Malaysia mengenai tragedi Double Six pada 6 April 2023,” katanya.
Laporan Australia dibuat berikutan laporan rasmi Malaysia yang dikeluarkan pada 12 April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan akan menyahklasifikasi laporannya mengenai nahas itu.
Malaysia melalui laporannya berhubung siasatan nahas yang turut dikenali sebagai ‘tragedi Double Six’ itu menyatakan tiada unsur sabotaj atau kegagalan enjin, manakala ujian patologi ke atas juruterbang Kapten Gandhi J Nathan membuktikan beliau cukup cergas pada masa itu dan tidak mengalami kesan alkohol atau dadah.
Menurut laporan itu, kemungkinan punca nahas pesawat GAF Nomad terlebih muatan di bahagian belakang.
Laporan turut menyebut muatan pesawat yang tidak seimbang menyebabkan pesawat menjunam ke laut dekat pantai Kampung Sembulan ketika mendekati landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Laporan itu juga menimbulkan keraguan tentang kemahiran juruterbang, dengan penyiasatan sejarah juruterbang menunjukkan beliau mengalami sedikit kesukaran untuk lulus kedua-dua ujian di darat dan udara.
Juruterbang hanya mendapat pengesahan Nomad pada lesennya pada Februari 1976, berikutan beberapa siri penulisan yang lemah daripada juruterbang syarikat.
Dalam tragedi 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Selain Fuad, turut terkorban Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah) dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Selain itu, Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi turut terkorban.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.
Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.





