Tongod Sesuai Dijadikan Jelapang Padi Bukit Jika Kerajaan Setuju – Masiung

Tongod Sesuai Dijadikan Jelapang Padi Bukit Jika Kerajaan Setuju – Masiung

0
SHARE
Tongod
Tanaman tradisi padi bukit diusahakan penduduk di daerah Tongod

TONGOD, SABAH – Kawasan Tongod berpotensi dijadikan jelapang padi bukit di Sabah jika kerajaan bersetuju membangunkan industri makanan berasaskan padi di daerah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata agensi berkaitan dan pemilik tanah terbiar di daerah itu sedia berkolaborasi dengan kerajaan negeri untuk tujuan pertanian.

Beliau menyambut baik saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, supaya pelan tindakan membasmi kemiskinan tegar lebih terarah kepada pertanian dan perikanan.

Hajiji ketika membuat lawatan kerja di Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) pada Selasa mahukan kementerian itu lebih banyak inisiatif melibatkan golongan sasar.

“Berdasarkan keluasan tanah di daerah Tongod jika diusahakan dengan bantuan kerajaan ia mampu menjadi pengeluar makanan di negeri ini menerusi penanaman padi bukit.

“Selain padi bukit kawasan Tongod juga berpotensi luas untuk projek ternakan ikan air tawar berdasarkan sumber air sungai,” katanya.

Masiung berkata, pada masa ini tanaman padi bukit yang diusahakan penduduk secara tradisi di daerah itu turut menyumbang kepada sumber ekonomi mereka.

Cuma perlu ada penambahbaikan jika wujud kolobirasi antara MAFFI dan pengusaha sedia ada, katanya menambah.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu menawarkan kepada MAFFI mewujudkan tanaman padi bukit secara bersapadu di Tongod bagi menampung pengeluaran padi yang merosot sejak kebelakangan ini.

Masiung mempelawa MAFFI atau Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) melaksanakan Inisitif berpanjangan untuk tanaman padi di daerah itu untuk permintaan dalam negeri.

Katanya, inisiatif penanaman padi bukit di Sarawak perlu dicontohi kerana pasaran mereka sudah mampu menembusi Sabah, Brunei dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, jika penanaman padi dilaksanakan secara meluas kadar kemiskinan penduduk di daerah itu boleh diatasi.

Masiung berkata Tongod salah satu dari 10 daerah yang disenaraikan termiskin di negara ini dan keadaan itu bakal berubah jika kerajaan negeri bersedia mewujudkan projek tanaman padi bukit.