80.5 Peratus Sabah Masih Bergantung Import Bekalan Beras Putih – Chan

80.5 Peratus Sabah Masih Bergantung Import Bekalan Beras Putih – Chan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jumlah bekalan beras putih bagi Negeri Sabah untuk tahun 2025 dianggarkan sebanyak 286,489.60 tan metrik, dengan kira-kira 80.5 peratus daripadanya masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan penggunaan domestik rakyat negeri itu.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, anggaran tersebut dibuat berdasarkan populasi Sabah seramai 3,769,600 orang dengan penggunaan per kapita sebanyak 76 kilogram setahun.

“Anggaran hasil pengeluaran beras tempatan bagi tahun 2025 adalah sebanyak 55,857.50 tan metrik berdasarkan trend dan purata pengeluaran padi Sabah bagi beberapa tahun kebelakang.

“Jumlah hasil beras tempatan ini digunakan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan pasaran domestik manakala baki keperluan sebanyak 230,632.10 tan metrik ditampung melalui bekalan beras putih import,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut di Dewan Negara.

Menurut beliau, berdasarkan pendekatan tersebut, kadar kebergantungan beras import bagi memenuhi penggunaan rakyat di Sabah dianggarkan sekitar 80.5 peratus.

Chan turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan subsidi kira-kira RM350 bagi setiap tan metrik Beras Putih Import (BPI) yang dibekalkan ke Sabah sebagai langkah menangani isu harga serta kekangan bekalan beras putih tempatan.

“Ini bermaksud purata harga beras putih import di Sabah adalah sekitar RM24 hingga RM25 sekilogram dan harga ini lebih rendah berbanding di Semenanjung dengan adanya subsidi Kerajaan,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan kadar sara diri (SSR) beras di Sabah, beliau berkata, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud terus memperkukuh peranan strategiknya melalui pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Menurutnya, pada tahun 2024 pengeluaran padi di Kota Belud telah mencapai 37,182 tan metrik setahun dengan purata hasil 4.2 tan metrik sehektar, iaitu peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun 2019 yang merekodkan 25,597 tan metrik setahun dengan purata hasil 2.9 tan sehektar.

Beliau menegaskan bahawa langkah subsidi import dan pemerkasaan pengeluaran tempatan akan terus dilaksanakan secara serentak bagi memastikan kestabilan harga serta jaminan bekalan beras putih di Sabah.