Orang Ramai Dijemput Hadir ke Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama...

Orang Ramai Dijemput Hadir ke Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (dua kanan) melihat hasil karya beliau yang dipamerkan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai dijemput hadir ke Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bermula 18 November sehingga 12 Disember ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata 27 karya koleksi catan landskap dan alam semula jadi karya Tun Juhar dipaparkan di ruang pameran Kalimaran, Galeri Azman Hashim (GAH-UMS).

“Melalui pameran ini kita dapat melihat kecintaan dan minat Tuan Yang Terutama yang tidak berbelah bahagi terhadap perkembangan seni dan budaya di negeri ini.

“Kita dapat melihat bagaimana seni dapat menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang mendalam, memperkukuhkan hubungan antara rakyat, serta menyatukan kita dalam semangat kebersamaan,” katanya semasa Majlis Perasmian Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2024, pada Khamis.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Tun Juhar yang diiringi Isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasnih.

Menurut Kasim, selain pameran hasil karya Tun Juhar, turut berlangsung adalah Pameran Koleksi Tan Sri Azman Hashim di ruang pameran Lepa dan Pameran Rebung 2.0 Bakat Muda universiti di ruang pameran Kaamatan

“Sepanjang 2024, sebanyak 12 pameran telah diadakan di GAH-UMS yang merupakan salah satu bangunan ikonik yang terdapat di Sabah dan menjadi antara destinasi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke UMS.

“Galeri ini turut dianugerahi ‘Silver Award’ bagi pelaksanaan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) yang merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk meningkatkan perkhidmatan dan kualiti kemudahan bagi produk-produk pelancongan di Malaysia.

“Pelaksanaan program MyTQA ini bertujuan meningkatkan keyakinan para pelancong dan memastikan kualiti produk pelancongan sentiasa di tahap yang terbaik bagi memenuhi kehendak pelancong domestik dan antarabangsa.

Ia merupakan satu pengiktirafan kepada produk pelancongan dan memberi pendedahan kepada penggiat-penggiat industri supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya.

Tambah beliau, GAH-UMS bukan sahaja menjadi pusat sehenti pameran, promosi dan jualan produk seni bagi perkembangan ilmu dan pelancongan tetapi turut menyediakan ruang kepada artis dan pengkarya seni dan organisasi.

“Konsep galeri bukan sahaja mempamerkan karya visual tetapi galeri membuka ruang untuk seni persembahan dan pendidikan seperti seminar, bengkel seni, seni kraf tempatan dan lain-lain,” ujarnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH