Sabah International Food Expo Kembali April Ini, Sasar 60,000 Pengunjung di SICC

Sabah International Food Expo Kembali April Ini, Sasar 60,000 Pengunjung di SICC

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah International Food Expo (SIFEX) 2026 kembali untuk edisi keempatnya dari 24 hingga 26 April 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC) dengan tema “Tasting Tomorrow’s Market”.

Diiktiraf sebagai pameran makanan terbesar di Malaysia Timur, SIFEX 2026 bakal menampilkan 312 gerai yang mempamerkan lebih 400 jenama terkemuka makanan dan minuman (F&B) dari Malaysia serta rantau Asia.

Edisi kali ini menghimpunkan pempamer dari Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand, Singapura, Hong Kong dan Taiwan, selain penyertaan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta peneraju industri.

Penganjur menyasarkan kehadiran seramai 60,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Ekspo ini menawarkan platform interaksi secara langsung B2C (Business-to-Consumer) dan B2B (Business-to-Business), sekali gus membuka peluang jaringan perniagaan dan peluasan pasaran.

Majlis perasmian dijadualkan pada 25 April 2026, jam 11 pagi. Waktu pameran adalah dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari dan kemasukan adalah percuma.

Antara pembaharuan dan tarikan utama tahun ini termasuk penyertaan 400 jenama FMCG, Taiwan Product Fair, zon Street Food yang menampilkan hidangan autentik serantau, serta zon Pastri dan Bakeri khas.

Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi merasa makanan, menyaksikan demonstrasi masakan oleh chef selebriti Fazley Yaakob, selain bengkel interaktif dan pembentangan produk yang mengetengahkan inovasi kulinari terkini.

Seramai 1,000 pengunjung terawal pada hari pertama juga bakal menerima ‘doorgift’ eksklusif.

Profil pempamer merangkumi pengilang, pengedar dan pengimport, pembekal peralatan F&B dan hospitaliti, agensi kerajaan, pavilion negeri, syarikat francais serta pembekal makanan sejuk beku.

SIFEX menjemput pasar raya, pengimport, pengedar, pengusaha restoran dan kafe, pengusaha hotel, pelabur, NGO serta pencinta makanan untuk hadir dan menyokong pameran makanan berprestij ini.

Sabah International Food Expo (SIFEX) merupakan platform utama yang menghimpunkan profesional industri makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa, selain menjadi hab penting bagi inovasi, perdagangan dan kerjasama strategik dalam industri F&B di rantau Asia.