KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh autonominya dalam pengurusan alam sekitar apabila mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup bagi membincangkan pelaksanaan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan berkaitan pengurusan buangan terjadual di negeri itu.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin yang berlangsung di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak, di sini baru-baru ini.
Menurut Jafry, perbincangan berkenaan menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Sabah mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan serta menguatkuasakan perundangan berkaitan alam sekitar mengikut keperluan tempatan, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, sebagai persediaan ke arah pelaksanaan penuh, Sabah akan memastikan kesemua sembilan kriteria kesediaan dipenuhi, termasuk aspek perundangan, infrastruktur teknikal, sistem pelaporan atas talian dan kapasiti sumber manusia sebelum fasa peralihan kuasa dilaksanakan sepenuhnya pada November 2026.
Jafry menegaskan bahawa sinergi kukuh antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kerajaan Negeri Sabah serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar meletakkan Sabah pada kedudukan lebih mantap dalam memperkasa pengurusan alam sekitar yang mampan, cekap, berkesan dan berdaya tahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta kepimpinannya atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam menjayakan usaha tersebut, sambil berharap inisiatif berkenaan dapat memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta menyumbang kepada kesejahteraan negeri secara menyeluruh.






