Invest Sabah Perlu Ruang Lebih Besar – Ewon

Invest Sabah Perlu Ruang Lebih Besar – Ewon

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Invest Sabah diberikan mandat lebih besar dalam usaha mempromosikan pelaburan ke negeri ini, khususnya di taman-taman perindustrian di seluruh Sabah.

“Kita mahu Invest Sabah diberi ruang sepenuhnya untuk melaksanakan promosi pelaburan dengan mandat yang jelas dan khusus, terutama dalam menyokong pembangunan taman perindustrian,” katanya ketika melakukan kunjungan rasmi ke Invest Sabah bersama Pembantu Menteri, Datuk Johnnybone J. Kurum pada Isnin.

Ewon berkata beliau menyambut baik cadangan penyediaan Pelan Pelaburan Sabah oleh Invest Sabah untuk dijadikan input dalam rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0.

“Saya telah berkongsi wawasan saya untuk kementerian ini, dan Invest Sabah sudah merancang promosi bukan hanya ke China tetapi juga Asia Tenggara, Eropah dan negara-negara lain,” katanya.

Beliau menegaskan keperluan penyelarasan lebih baik antara agensi berkaitan pelaburan termasuk SEDIA bagi memastikan strategi yang lebih menyeluruh.

“Kita mahu manfaat pelaburan dinikmati seluruh pelusuk Sabah, bukan hanya kawasan tertentu,” katanya.

Ewon turut menegaskan komitmen kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh promosi pelaburan dan menjadikan Sabah destinasi pilihan pelabur.