TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak mengamuk dan mengeluarkan ugutan bunuh terhadap ibunya dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun, berada di rumah sebelum didatangi suspek yang juga anak kandungnya berusia 23 tahun.
Menurutnya, suspek menjadi agresif selepas permintaannya untuk diberikan wang tidak dipenuhi, sebelum menumbuk dinding rumah dan mengeluarkan ugutan bunuh sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau mengesan suspek di kawasan perkampungan Batu 2, Jalan Apas, kira-kira jam 3 petang semalam.
“Ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam parit berhampiran sebelum polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi menghalangnya,” katanya.
Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
ACP Jasmin menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman jenayah, termasuk yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga, demi memastikan keselamatan awam terjamin.






