Bill Gates Fokus Bantu Afrika, Sumbang 99 Peratus Kekayaan (RM940 bilion)

Bill Gates Fokus Bantu Afrika, Sumbang 99 Peratus Kekayaan (RM940 bilion)

0
SHARE

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menyatakan bahawa sebahagian besar kekayaannya akan disalurkan untuk meningkatkan kesihatan dan pendidikan di Afrika dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Bercakap memetik sumber BBC di Ibu Pejabat Kesatuan Afrika di Addis Ababa, beliau berkata pelaburan dalam potensi manusia melalui kesihatan dan pendidikan mampu membawa kemakmuran kepada Afrika.

Gates turut menggesa inovator muda Afrika membangunkan kecerdasan buatan (AI) bagi memperbaiki sistem kesihatan.

Beliau sebelum ini berikrar untuk menyumbangkan 99 peratus daripada kekayaannya—yang dijangka mencecah AS$200 bilion (RM940 bilion)—menjelang 2045. Yayasan Gates akan menamatkan operasinya selepas tempoh itu.

Gates menekankan kepentingan penjagaan kesihatan asas, pemakanan ibu sebelum dan semasa kehamilan, serta pemakanan kanak-kanak dalam empat tahun pertama kehidupan.

Beliau memuji Rwanda yang telah menggunakan AI untuk mengesan kehamilan berisiko tinggi.

Tiga fokus utama yayasan beliau adalah mengurangkan kematian ibu dan bayi, mencegah penyakit berjangkit, dan membasmi kemiskinan.

Bekas Wanita Pertama Mozambique, Graça Machel, menyambut baik komitmen Gates, terutama ketika bantuan AS kepada Afrika dikurangkan. Gates turut mengakui inspirasi dari Warren Buffett dalam kegiatan filantropinya.

Namun, terdapat kritikan bahawa yayasannya mempunyai pengaruh besar terhadap sistem kesihatan global dan didakwa menggunakan status kebajikan untuk mengelak cukai.