SANDAKAN, SABAH – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Libaran Datuk Zakaria Edris menyangkal dakwaan kononnya 2,000 ahli parti itu di Parlimen Libaran bertindak keluar parti sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata tiada ketua cawangan dalam kawasan itu menemuinya untuk memaklumkan tindakan ahli keluar parti.
“Kami (Bersatu Libaran) tidak kenal siapa 2,000 orang ini. Yang di peringkat cawangan juga tidak kenal mereka ini,” katanya pada persidangan media bagi menyangkal dakwaan itu di sini, semalam.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata beliau berpuas hati dengan kehadiran ahli yang hadir persidangan parti di peringkat cawangan.
Menurutnya, daripada kira-kira 6,500 ahli yang berdaftar, jumlah kehadiran ahli pada persidangan di 25 cawangan dalam Libaran sejak semalam menjangkau 3,500 ahli.
“Kehadiran adalah menggalakkan meskipun kita masih terikat dengan prosedur operasi standard bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.