KOTA KINABALU, SABAH – Tular sebuah video ‘Road Bully’ sejak semalam yang jelas menunjukkan seorang suspek lelaki yang menunggang motosikal telah memarahi dan memukul seorang lelaki berumur di kawasan Api-Api Centre, di sini pada tengah hari kelmarin.
Susulan daripada video berdurasi 29 saat yang tular tersebut, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Haji Majinji ketika dihubungi media mengesahkan bahawa perkara ini dan telah menerima laporan daripada mangsa sejurus kejadian tersebut sekitar pukul 1:30 tengah hari, kelmarin.
Berdasarkan laporan mangsa yang merupakan seorang mekanik kereta, 42-tahun, ketika kejadian, mangsa bersama anak lelakinya berusia 12-tahun. Dia yang sedang memandu telah dihentikan oleh penunggang motosikal berkenaan dan telah memaksa dirinya keluar.
Menurut mangsa, suspek memarahi dan menuduh mangsa cuba melanggarnya sebelum suspek bertindak memukul mangsa dan meninggalkan tempat kejadian.

ACP Habibi memaklumkan, suspek telah dikenalpasti dan dalam buruan polis.
Tambah Habibi, mangsa mengalami kecederaan dan lebam di muka, lengan dan badan.
Beliau menasihati orang awam agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan amalkan etika berhemah ketika berada di jalan raya dan elakkan diri menjadi ‘road-bully’.