UCSI Meterai Kerjasama Dengan MCMC Dalam Aplikasi, Penyelidikan Teknologi 5G

UCSI Meterai Kerjasama Dengan MCMC Dalam Aplikasi, Penyelidikan Teknologi 5G

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Universiti UCSI telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan kerjasama strategik dalam penyelidikan dan aplikasi teknologi Generasi Kelima (5G).

UCSI dalam satu kenyataan yang dipetik Bernama malam tadi berkata, MoU itu akan mewujudkan peluang kolaborasi antara kedua-dua pihak, yang termasuk pembangunan kursus kelayakan mikro dalam bidang seperti Forensik Digital, Bioinformatik, Analitis Big Data dan Keselamatan Siber.

“MoU itu juga akan mengetengahkan usaha kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menyokong aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju dari segi teknologi,” menurut kenyataan itu.

Naib Canselor Universiti UCSI Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata para pendidik perlu menganggap inovasi sebagai satu kemestian dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia boleh menjimatkan masa di samping meningkatkan minat pelajar untuk belajar.

“Sifat-sifat ini amat diperlukan dalam dunia pendidikan hari ini untuk melahirkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR) 4.0, 5G dan revolusi seterusnya yang akan datang…

“Sehubungan itu kursus kelayakan mikro Universiti UCSI akan membantu melahirkan graduan hebat akan datang, dan pada masa yang sama melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia untuk berkembang maju dalam IR 4.0,” katanya.

Sementara itu MCMC dalam kenyataan sama berkata kolaborasi itu akan membuka laluan kepada kemahiran digital untuk bersedia bagi kepimpinan digital dalam teknologi dan inovasi, sambil menambah bahawa suruhanjaya itu akan bekerjasama rapat dengan industri dan akademia dalam memastikan bahawa seluruh tenaga kerja sudah bersedia untuk dunia digital.

MoU itu juga akan membolehkan Universiti UCSI dan MCMC mengadakan seminar, persidangan dan bengkel ICT secara kolaboratif sambil mencerminkan komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 9 bagi membina infrastruktur yang berdaya tahan, menggalakkan perindustrian inklusif dan mampan, serta memupuk inovasi.

Dr Siti Hamisah menandatangani MoU itu bagi pihak Universiti UCSI, manakala MCMC diwakili pengerusinya Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.