TUARAN: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemui selamat pagi tadi di tepi sungai, kira-kira satu kilometer dari kediamannya di Kampung Ruhiang, Tuaran, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir sepanjang malam.
Mangsa, wanita berusia 74 tahun itu, dilaporkan keluar dari rumah sekitar jam 6 petang sebelum disedari hilang oleh ahli keluarga yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tamparuli pada jam 10.04 malam.
Berikutan laporan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan kecemasan daripada PDRM pada jam 10.35 malam.
Pasukan SAR diketuai Komander Operasi, PBK II Easter Hassan, bersama Komander Operasi Kanan, PPgB Mislan Tuge, tiba di lokasi pada jam 11.26 malam selepas melalui laluan sejauh satu kilometer tidak berturap dan berbukit curam, selain berdepan liputan komunikasi yang lemah.
Operasi membabitkan 12 anggota BBP Tuaran bersama PDRM, APM serta lapan penduduk kampung, dengan radius pencarian sejauh 800 meter. Sebuah Pos Kawalan Bomba (PKB) turut dibuka bagi menyelaras gerakan mencari.
Pencarian malam ditangguhkan pada jam 12.33 tengah malam sebelum operasi disambung semula pada jam 7.45 pagi. Hanya 10 minit kemudian, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung pada jam 7.55 pagi di tepi sungai, sejauh satu kilometer dari rumahnya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.22 pagi setelah keadaan disahkan selamat.






