TAWAU: Polis Tawau menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun menggunakan senjata di Tawau baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa yang pada ketika itu berseorangan telah didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali dan diugut menggunakan senjata tajam untuk memaksa mangsa menyerahkan barang-barang berharga milik mangsa kepadanya.
“Demi keselamatan diri, mangsa terpaksa akur dengan menyerahkan wang dan telefon bimbit mangsa kepada suspek.
“Berikutan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau telah berjaya menahan dan memberkas seorang lelaki berumur 31 tahun di jalan baru bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan terhadap suspek didapati, sebilah pisau beserta sarung dan telefon bimbit jenama vivo milik suspek turut dirampas.
“Semakan rekod jenayah lampau didapati suspek mempunyai pelbagai kesalahan iaitu (01) seksyen 324 Kanun Keseksaan, (02) seksyen 379 Kanun Keseksaan, (03) seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, (01) seksyen 380 Kanun Keseksaan, (01) 379A Kanun Keseksaan, (01) seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, (03) seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan (01) seksyen 9(1) Akta Judi Terbuka 1953,” jelasnya.
Kes akan disiasat di bawah seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat. Bagi Seksyen 397 sebatan adalah wajib.






