Sabah Perlu Kekal Toleransi Agama dan Tolak Ekstremisme – Joniston

Sabah Perlu Kekal Toleransi Agama dan Tolak Ekstremisme – Joniston

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah perlu terus mempertahankan budaya saling menghormati serta menjadi contoh toleransi agama dan kaum, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, insiden keganasan akibat ketegangan kaum dan agama di beberapa negara lain wajar dijadikan peringatan agar keharmonian di Sabah terus dipelihara.

“Apabila perbezaan gagal diurus dengan rasa hormat, kesannya boleh menjadi serius. Sabah mesti memastikan fahaman ekstremisme agama dan perkauman tidak berakar di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Krismas Inanam di Pekan Inanam pada Sabtu.

Menurut Joniston, kepelbagaian kaum dan agama di Sabah telah lama menjadi kekuatan negeri, dengan masyarakat hidup dan meraikan perayaan bersama secara harmoni.

Beliau berkata, keharmonian sosial yang dinikmati bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan dan keamanan negeri, malah turut meningkatkan daya tarikan pelancongan Sabah sebagai sebuah negeri yang inklusif dan mesra.

Karnival Krismas Inanam, yang dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Gereja-Gereja Inanam, telah diadakan sejak 2015 dan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.