DBKK Digesa Kurangkan Caj Tapak Bazar Ramadan, Bantu Ringankan Beban Penjaja

DBKK Digesa Kurangkan Caj Tapak Bazar Ramadan, Bantu Ringankan Beban Penjaja

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) digesa mempertimbangkan pengurangan caj tapak bazar Ramadan dengan mengguna pakai pendekatan model hibrid seperti yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bagi meringankan beban penjaja kecil di tengah tekanan kos sara hidup.

Ahli Majlis Perundingan Penjaja Peniaga Kecil Kebangsaan merangkap Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Achmad Noorasyrul Noortaip berkata, langkah DBKL mengurangkan caj tapak kepada RM400 melalui model hibrid wajar dipuji kerana menunjukkan keprihatinan pihak berkuasa tempatan terhadap realiti yang dihadapi penjaja.

Menurutnya, penjaja kini berdepan peningkatan kos bahan mentah, sewaan peralatan, tenaga kerja serta tekanan ekonomi semasa, justeru pendekatan serupa wajar dipertimbangkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bagi memastikan perniagaan bazar Ramadan berlangsung secara adil dan mampan.

Beliau turut menegaskan isu orang tengah dan pihak yang memonopoli tapak bazar perlu ditangani secara serius kerana amalan itu membebankan penjaja melalui caj tinggi dan akhirnya memberi kesan kepada pengguna apabila harga jualan terpaksa dinaikkan.

“DBKK mempunyai keupayaan untuk mengurus tapak bazar secara terus, telus dan berintegriti, termasuk menetapkan syarat munasabah agar harga jualan tidak membebankan rakyat, khususnya pada bulan Ramadan yang menekankan nilai kesederhanaan dan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Achmad berkata, langkah tersebut bukan sahaja membantu penjaja kecil, malah melindungi kepentingan pengguna serta memastikan ekosistem bazar Ramadan kekal sihat, beretika dan berdaya tahan. Beliau turut menggesa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sabah meneliti dan melaksanakan pendekatan serupa mengikut kesesuaian kawasan masing-masing.

“Bazar Ramadan bukan sekadar lokasi jual beli, tetapi medan rezeki rakyat kecil. Ia wajar diurus berteraskan keadilan, ketelusan dan keprihatinan agar manfaatnya kembali kepada penjaja dan masyarakat,” katanya.