SOOK: Sebuah stor kedai penyimpanan hardware di San Light Timber Hardware, Sook musnah terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada pagi Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBT II Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.30 pagi.
“Jenteria bomba dari BBP Sook tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.35 pagi dengan jarak dua kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan sebuah stor kedai penyimpanan hardware jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 60 x 20 kaki persegi dan didapati terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan oleh pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 600 kaki dengan dua pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 13 anggota bomba terdiri daripada lapan anggota BBP Sook dan lima anggota bantuan dari BBP Nabawan, dengan kekuatan dua jentera FRT.
Turut membantu di lokasi kejadian ialah, dua anggota Sabah Electricty Sdn Bhd (SE) dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.50 pagi dan ditamatkan pada jam 1.07 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan kebakaran dipatuhi, khususnya di premis penyimpanan barangan mudah terbakar, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.






