Pelajar Sabah di Timur Tengah Diseru Jadi Duta Pendidikan Negeri

Pelajar Sabah di Timur Tengah Diseru Jadi Duta Pendidikan Negeri

0
SHARE

KAHERAH: Pelajar Sabah yang menuntut di Timur Tengah diharap dapat berperanan sebagai duta pendidikan dengan membawa pulang ibrah, ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk berbakti kepada Negeri di Bawah Bayu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, pembangunan sebenar Sabah tidak hanya bergantung kepada pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan pembangunan modal insan melalui pendidikan, nilai murni dan integriti.

“Pembangunan tanpa pencerahan akal budi adalah rapuh. Pendidikan mesti menjadi fokus utama bagi melahirkan generasi berilmu, bertamadun dan berintegriti,” katanya ketika berucap pada Majlis Mahabbah Bersama Pelajar Sabah di Mesir, di sini, pada Ahad lalu.

Tun Musa, yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin, berkata kerajaan negeri sejak 1997 telah menyediakan kemudahan penginapan khusus kepada pelajar Sabah di Mesir menerusi pembelian Wisma Yayasan Sabah di Kaherah ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Yayasan Sabah.

Menurut beliau, sebuah lagi bangunan asrama pelajar turut dibeli di Iskandariah pada 2010 semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah bagi menampung keperluan kebajikan pelajar negeri itu.

“Saya amat mengambil berat kebajikan pelajar Sabah di luar negara, khususnya ketika mereka belum mempunyai kemudahan asrama yang khusus,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Musa menyeru pelajar Sabah agar memanfaatkan sepenuhnya peluang menuntut ilmu di Mesir dengan menghayati sejarah tamadun Islam, mengamalkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta memelihara perpaduan Sabah sebagai sebuah negeri berbilang kaum dan agama.

“Seorang sarjana sejati bukan sekadar menghafal ilmu, tetapi mampu menterjemahkannya untuk kemaslahatan rakyat. Binalah jaringan kerjasama antarabangsa dan manfaatkan peluang di sini untuk mencapai kejayaan,” tegas beliau.

Pada majlis berkenaan, Tun Musa turut menyempurnakan penyampaian Sumbangan Tunai Mahasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MISBAH), selain sumbangan kewangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada Badan Kebajikan Penuntut Sabah di Mesir (BKPSM).

Turut disampaikan sumbangan aktiviti Persatuan Mahasiswa Sabah (SEMESTA) kepada Majlis Mahasiswa Sabah Jordan (MMSJ) dan BKPSM, serta sumbangan Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Kumpulan Yayasan Sabah bagi pembelian kelengkapan asrama di Kaherah.

Majlis yang dihadiri kira-kira 350 pelajar itu turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; serta Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.