KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Joniston Bangkuai menggesa agar kerja-kerja pemangkasan pokok dan tumbuhan liar yang menjalar ke bangunan serta pembersihan permukaan jalan di Jalan Gaya, Blok D dipercepatkan.
Katanya, ia bagi memastikan kawasan itu terus kelihatan kemas, bersih dan selamat untuk kegunaan orang ramai.
“Langkah segera perlu diambil bagi mengekalkan imej Jalan Gaya sebagai antara lokasi tumpuan utama pelancong dan penduduk setempat, selain memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya dan penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan tapak ke Projek Menaik Taraf Permukaan Jalan Raya di Jalan Gaya,Blok D pada Isnin, bagi meninjau pelaksanaan kerja-kerja naik taraf serta memastikan infrastruktur sedia berada dalam keadaan kondusif, khususnya menjelang pembukaan semula kawasan tersebut kepada orang awam.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Robert Lipon; serta ketua-ketua jabatan dan pegawai DBKK.
Dalam perkembangan sama, Jalan Gaya, Blok D dijangka dibuka semula pada 30 Januari 2026 bagi penganjuran Api-Api Night Food Market dan Tamu Minggu Gaya Street, sekali gus membolehkan seramai 18 penjaja Api-Api Night Market dan 61 penjaja Tamu Minggu Jalan Gaya meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.
Orang ramai serta penjaja turut dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan oleh DBKK demi menjamin keselesaan dan kesejahteraan bersama.






