KOTA KINABALU: Ibu bapa pesakit di Pusat Autisme Sabah kini hanya perlu membayar yuran RM300 seorang berbanding kadar asal RM650, hasil subsidi RM350 yang ditanggung oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pesakit.
“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya Sabah Maju Jaya Energy (SMJE), untuk menyumbang kepada pembangunan dan kelengkapan Pusat Autisme di seluruh negeri.
Datuk James menegaskan, kerjasama antara kerajaan dan sektor korporat akan memperkukuh kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan, sekali gus memastikan kanak-kanak autisme di Sabah menerima sokongan terbaik untuk perkembangan mereka.






