Cekik, Pukul dan Ugut Bunuh Isteri, Lelaki Tempatan Ditahan di Tawau

Cekik, Pukul dan Ugut Bunuh Isteri, Lelaki Tempatan Ditahan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan polis selepas disyaki mencekik, memukul dan mengugut bunuh isterinya dalam kejadian di rumah mereka pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika pasangan tersebut dipercayai bertengkar.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik dan memukul mangsa hingga menyebabkan bengkak pada telinga kanan serta bahagian atas pipi. Mangsa berusia 31 tahun seterusnya membuat laporan polis pada jam 9.16 pagi semalam.

“Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek kira-kira jam 5 petang di kawasan tempat letak kereta hadapan sebuah bank di bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Superintendan Champin turut menasihatkan orang ramai, khususnya mangsa keganasan rumah tangga, supaya tidak berdiam diri dan segera membuat laporan polis bagi mengelakkan kejadian lebih serius serta menyelamatkan nyawa.