
KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki dipercayai suspek pengedar dadah diberkas 120 meter selepas dua tayar kenderaan jenis Perodua MyVi yang dipandunya dibocori dua peluru dari anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman berkata, dua paket berisi yang dipercayai dadah jenis syabu ditemui dalam kereta suspek berusia 20-an.
“Anggaran berat dadah sebanyak 100 gram dan suspek lelaki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Menurut beliau, anggota pada lokasi kejadian di Menggatal kira-kira pukul 2 petang tadi telah melepaskan satu tembakan masing-masing ke dua belah tayar hadapan kenderaan terbabit.
“Suspek cuba merempuh polis yang telah mengepunginya dan tembakan itu tindak balas untuk mempertahankan diri,” katanya sambil menambah tiada anggota polis yang cedera.