KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menggesa kuasa perundangan perikanan laut dalam Sabah dikembalikan bagi membolehkan negeri itu merancang dasar, pembangunan dan infrastruktur sendiri.
“Sabah tidak mempunyai ordinan ataupun Enakmen Perikanan untuk membuat dasar dan merancang pembangunan industri perikanan laut dalam yang diperlukan untuk mengangkat sektor ini ke arah keterjaminan makanan negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Perikanan 1985.
“Sejak Ordinan Perikanan Sabah 1963 dimansuhkan pada 1972 dan diganti Akta Perikanan 1985.
“Sabah bergantung sepenuhnya kepada dasar dan undang-undang digubal di peringkat Persekutuan sedangkan Jabatan Perikanan Persekutuan Semenanjung tidak beroperasi di Sabah,” tegasnya.
Madius turut menegur kekurangan kemudahan pendaratan ikan, menyatakan hanya Kota Kinabalu memiliki kompleks pendaratan ikan, manakala kawasan lain seperti Tuaran, Kudat, Sandakan dan Semporna masih kekurangan kemudahan asas.
Beliau mencadangkan penubuhan Majlis Perikanan Negara dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II dan melibatkan Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta kementerian Persekutuan supaya Sabah dan Sarawak tidak terus terpinggir.






