
KUCHING, SARAWAK – Kerajaan negeri Sabah telah menaikkan insentif pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak daripada RM5,000 ke RM10,000.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap atlet Sabah yang memenangi pingat emas SUKMA kali ini akan menerima insentif sebanyak RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.
Beliau berharap kontinjen Sabah akan berjaya mencapai sasaran sebanyak 40 pingat emas pada SUKMA XXI Sarawak.
“Saya mahu atlet Sabah bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menjaga disiplin diri demi nama baik negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Skuad Wushu Sabah yang berjaya menyumbang sebanyak tiga pingat emas dan satu perak pada SUKMA Sarawak XXI di Hotel Pullman, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin dan Pembantu
Menterinya, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun yang juga `Chief De’ Mission’ Sabah.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada skuad wushu yang berjaya menyumbang pingat emas dan perak pertama untuk Sabah.
Tiga emas yang dimenangi oleh skuad wushu ialah menerusi Amirah Sofea Azlan dalam acara sanda Wushu 45-48kg wanita, Dione Babyline Fely (sanda kategori 48- 52kg wanita) dan Fyenlly Himon (sanda 48-52kg lelaki).
Pingat perak dimenangi oleh Ericson Bong Cheng Loong (toulu gunshu lelaki).