Redonah Tawar Enam Manifesto Untuk Pengundi Bandau

Redonah Tawar Enam Manifesto Untuk Pengundi Bandau

0
SHARE

BANDAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri Bandau, Datuk Redonah Bahanda, membentangkan enam manifesto sebagai petunjuk prestasi indeks (KPI) menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Dalam kenyataannya, Redonah berkata agenda pertama memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat Bandau melalui pembangunan infrastruktur dan pengukuhan bantuan kebajikan.

Manifesto kedua pula memfokuskan kepada pemantapan pertumbuhan ekonomi setempat, termasuk merancakkan aktiviti perniagaan dan peluang pendapatan bagi masyarakat.

Beliau turut menegaskan komitmen menyelesaikan isu pemilikan tanah secara lebih berkesan dengan mempercepat proses dokumentasi, mengurangkan birokrasi serta menangani pertindihan permohonan.

“Bagi manifesto keempat iaitu melestarikan budaya dan membentuk masyarakat Bandau yang harmoni, saya mahu memperkasa program seni, budaya dan warisan suku kaum serta mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Golongan wanita dan belia juga diberi perhatian melalui program keusahawanan, bantuan dan latihan kemahiran serta pembangunan sosial yang lebih terancang.

Bagi manifesto terakhir, Redonah berkata mutu pendidikan dan pembangunan generasi muda Bandau akan diperkukuh melalui penubuhan Yayasan Pendidikan Anak Bandau bagi menyediakan biasiswa, bantuan kewangan sukan dan sokongan pembangunan bakat demi melahirkan anak-anak Bandau yang berilmu, cergas dan kompetitif.