PUTATAN, SABAH – Kegembiraan aktiviti mandi-manda sekumpulan sembilan saudara berubah menjadi tragedi apabila empat daripada mereka lemas di Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Petagas, malam ini (Selasa).
Misi pencarian dan penyelamatan diketuai oleh Balai Bomba dan Penyelamat Penampang sebaik menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6 petang.
Ketua Operasi, Misran Bisara berkata, satu demi satu jenazah mangsa mula dibawa ke pantai pada pukul 8.23 malam.
“Kaedah ‘surface water’ digunakan bagi mencari mangsa di mana keadaan air pasang surut telah memudahkan operasi…
“Mayat pertama iaitu seorang remaja wanita berusia 18 tahun dan yang terakhir, seorang kanak-kanak lelaki 8 tahun ditemui sejam kemudian.”
Difahamkan, tiga daripada mangsa yang berusia 8, 13, 14, dan 17 tahun merupakan adik-beradik.
“Jarak mereka ditemui kira-kira 50 meter secara berasingan,” katanya selepas menamatkan pencarian pada pukul 9.40 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata mayat telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.
“Satu pasukan polis telah dikerah bagi memantau kepatuhan SOP melihat banyak penduduk kampung keluar untuk membantu atau melihat perkembangan kes berkenaan,” katanya.
Haris menasihati ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka terutamanya sekarang pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana mereka sepatutnya berada di rumah.
Turut hadir di tempat kejadian ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya.
ADUN Tanjung Keramat itu berkata, kerajaan akan memberikan bantuan kepada keluarga yang terjejas.
“Saya ingin mengingatkan penduduk di sini untuk selalu berhati-hati ketika keluar berkelah atau bermandi-manda memandangkan tragedi ini bukan insiden lemas pertama di kawasan ini,” katanya.
Bapa kepada ketiga-tiga mangsa Amit Salleh Yusof, 61, baru sahaja siap menunaikan solat Maghrib apa bila mendapat berita buruk itu daripada isterinya.
“Sebaik sahaja menerima panggilan telefon itu, saya bergegas ke pantai untuk mencari keluarga saya yang mana ketika itu dikelilingi oleh pasukan penyelamat…
“Anak-anak saya selalu pulang ke rumah selepas bermandi di laut. Saya terima bahawa ajal mereka seperti yang telah ditentukan oleh Tuhan,” katanya.
Sementara itu, kakak ipar kepada mangsa, Norminah, 37, berkata keluarga mereka sebenarnya tinggal di Inanam tetapi tersekat di Petagas oleh kerana perlaksanaan PKP.
“Mereka gembira tinggal di sini kerana semua sepupu dapat bersama. Saya tidak pernah terbayangkan pertemuan buat yang terakhir kami adalah beberapa hari yang lalu…
“Saya berasa amat sedih kerana hubungan kami sangat erat,” katanya menahan sebak.