Polis Sabah Rampas Rokok, Arak Seludup Bernilai RM7.9 Juta Di Sandakan

Polis Sabah Rampas Rokok, Arak Seludup Bernilai RM7.9 Juta Di Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Polis Sabah melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok dan arak dengan rampasan tanpa cukai mencecah hampir RM8 juta barangan seludup di Sandakan, Khamis lepas.

Barangan tersebut dirampas dalam tiga serbuan bersiri di lokasi berasingan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Komisaris Datuk Idris Abdullah berkata tiga lelaki tempatan berusia antara 29 dan 45 tahun turut ditahan dalam Ops Kontraban.

Katanya operasi dijalankan bersama cawangan Risikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am dan polis daerah Sandakan.

“Serbuan dari 11 pagi hingga 2.30 petang dijalankan ke atas dua gudang dan sebuah rumah berdasarkan maklumat yang diterima…

“Rokok seludup dianggarkan bernilai RM5.95 juta berjaya ditemui selain pelbagai jenis minuman beralkohol yang tidak dikenakan cukai bernilai RM1.71 juta,”katanya.

Katanya dua van dan dan sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan terlarang turut disita.

“Secara keseluruhannya, barangan itu bernilai RM7,915,177.45. Dengan ini, kami percaya kami telah memutuskan rangkaian penyeludupan sindiket itu di Sandakan,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, suspek terlibat telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Sabah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata ketiga lelaki itu dipercayai sebagai penjaga premis berkenaan selain bertindak sebagai pemandu untuk menghantar barangan seludup itu.