Redonah Seru Wanita Sabah Terajui Ekonomi Tempatan

Redonah Seru Wanita Sabah Terajui Ekonomi Tempatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Datuk Redonah Bahanda menyeru lebih ramai wanita di negeri ini menceburi bidang keusahawanan dan menjadi penggerak utama ekonomi tempatan selaras aspirasi “Usahawan Wanita Sabah Menerajui Masa Depan Barangan Malaysia.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mini Inspirasi Kempen Belilah Barangan Malaysia yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada wanita, beliawanis, profesional dan usahawan dari seluruh Sabah.

Katanya, wanita Sabah kini semakin menyerlah dalam sektor perniagaan, daripada perniagaan kecil di rumah dan tamu sehingga berjaya mengembangkan jenama melalui media sosial dan menjadi pencipta peluang pekerjaan.

“Dulu wanita hanya di belakang tabir, kini mereka berada di barisan hadapan sebagai pemilik perniagaan dan penggerak ekonomi,” katanya.

Redonah turut menegaskan kejayaan usahawan wanita datang dengan pengorbanan besar dalam berdepan cabaran ekonomi dan kos sara hidup.

Beliau turut menggesa masyarakat menyokong produk tempatan kerana ia membantu usahawan kecil, ibu tunggal serta memperkukuh ekonomi negara.

Menurutnya, Kempen Belilah Barangan Malaysia menjadi platform penting untuk memperluas jaringan dan pasaran usahawan tempatan.

Beliau berharap program seperti itu diteruskan bagi memperkasa wanita Sabah dalam bidang keusahawanan serta meningkatkan keyakinan dan peluang mereka.

“Wanita Sabah bukan sekadar mampu bersaing, tetapi mampu memimpin masa depan negeri dan negara,” katanya.

Redonah turut merakamkan penghargaan kepada KPDN, SSM serta semua pihak yang menjayakan program tersebut.