KERAJAAN TUBUH JAWATANKUASA PENYELARASAN PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN NEGERI

KERAJAAN TUBUH JAWATANKUASA PENYELARASAN PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN NEGERI

0
SHARE
Hajiji
Suasana ketika persidangan DBS berlangsung ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah bagi menangani isu pertindihan perancangan program antara kementerian, jabatan, agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan program pembangunan usahawan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia.

Menurutnya, jawatankuasa ini dianggotai oleh beberapa kementerian dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berperanan untuk menyelaras program- program keusahawanan di negeri ini termasuk pemberian dana.

“Kerajaan negeri juga akan memperhalusi cadangan dan idea Ahli Dewan Belia Sabah (DBS) untuk mewujudkan Hala Tuju Pembangunan Usahawan Sabah dalam masa 10 tahun dengan melibatkan semua pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Persidangan DBS, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Katanya, kerajaan negeri dan belia senada dan sehaluan berkaitan Usul Infrastruktur Asas Luar Bandar dan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil oleh kementerian yang bertanggungjawab.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) telah membina sebanyak 18 Arena Belia di seluruh daerah negeri ini, sebagai pusat para belia melaksanakan pelbagai aktiviti sama ada sukan ataupun aktiviti sosial.

Katanya, Ahli-ahli DBS perlu memainkan peranan menyebarluaskan mengenai kewujudan bangunan Arena Belia dan memanfaatkan kemudahan yang ada.

Mengulas masalah bekalan air bersih dan elektrik di negeri ini, Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil tindakan dan usaha yang perlu bagi menyelesaikan masalah itu yang diwarisi daripada kerajaan lalu.

Mengenai industri minyak dan gas, beliau mahu penyertaan syarikat-syarikat tempatan Sabah dalam projek dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PETRONAS mencapai 30 peratus pada tahun hadapan, berbanding hanya sebanyak 11 peratus pada masa ini.

Beliau juga berharap Ahli-ahli DBS memainkan peranan sebagai jurucakap bagi pihak kerajaan negeri dalam menyampaikan Hala Tuju Pelan Pembangunan SMJ ke setiap lapisan masyarakat di segenap pelosok daerah masing-masing.

“Ini penting kerana informasi mengenai Pembangunan SMJ 1.0 2021-2025 dan program-program bersasar dapat rakyat ketahui untuk kita bersama-sama membangunkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik di negeri ini,” tambahnya.

Hajiji turut mengumumkan pemberian sebanyak RM2,000 secara “one off” kepada semua 79 Ahli DBS.