GRS Dijangka Tidak Akan Bertanding Solo, Calon Bebas Ada Kelebihan Kali Ini...

GRS Dijangka Tidak Akan Bertanding Solo, Calon Bebas Ada Kelebihan Kali Ini – Mohammad Bahrin 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat kurang berkemungkinan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, menurut Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Likas Datuk Mohammad Bahrin Abd Karim.

Beliau mengulas bahawa walaupun terdapat desakan agar parti tempatan seperti GRS bergerak secara bersendirian, realitinya, kerjasama dengan parti nasional tetap menjadi agenda utama untuk pembangunan negeri Sabah.

“Walaupun ramai di media sosial mahukan GRS bertanding solo, kita tidak boleh mengabaikan agenda nasional dan keperluan untuk berlapang dada bekerjasama dengan parti nasional demi kepentingan Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, kerjasama dengan parti-parti nasional masih relevan dan lebih-lebih lagi apabila ketika ini belum ada keputusan rasmi mengenai pembahagian kerusi untuk PRN.

Malah, katanya, pengalaman PRN sebelum ini menunjukkan bahawa sokongan parti nasional amat diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya Likas mempunyai kira-kira 19,200 pengundi berdaftar, dengan 13,000 daripadanya merupakan pengundi Cina, manakala baki 5,000 lebih adalah pengundi Melayu dan kaum lain.

Beliau menegaskan bahawa kawasan ini majoritinya diwakili oleh parti-parti yang mempunyai sokongan kaum Cina seperti DAP.

“Dalam konteks Likas, kita harus akur bahawa DAP sebagai parti yang mewakili majoriti pengundi di sini dan kami akan memberikan sokongan penuh kepada calon yang bertanding dari parti kerajaan,” tambahnya.

Bahrin turut berpendapat bahawa calon bebas melibatkan individu yang aktif berkhidmat di kawasan mereka berpotensi mendapat kelebihan pada PRN kali ini.

“Bagi saya, pada PRN17 nanti, parti bebas atau calon bebas yang bekerja keras di kawasan masing-masing mungkin akan mendapat sokongan lebih banyak berbanding parti-parti yang ada sekarang.

“Ini kerana pengundi kini lebih menilai individu berbanding nama parti,” katanya.

Jelasnya, dalam kalangan parti tempatan sendiri terdapat perpecahan dan ketidakpuasan, menyebabkan calon bebas mempunyai peluang untuk mencuri tumpuan pengundi.

Bahrin tidak menafikan kemungkinan calon bebas yang kuat akan muncul, khususnya dari kalangan belia, tetapi menegaskan ia bukan bermakna beliau sendiri akan bertanding secara bebas.

Beliau ditemui pada persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Likas pada Sabtu yang dihadiri hampir 500 ahli. Bahagian itu mempunyai 22 cawangan dengan lebih 2,500 ahli.