KOTA KINABALU: Cadangan untuk menaikkan had umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan peluang pekerjaan untuk pekerja baharu, yang berpotensi mengurangkan prospek pekerjaan bagi golongan muda.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Murkam Hussien, berpendapat bahawa cadangan tersebut tidak sesuai dan tidak harus dilaksanakan pada masa ini.
Statistik menunjukkan Malaysia menghasilkan lebih daripada 300,000 graduan setiap tahun, termasuk dalam bidang pendidikan.
Jika cadangan ini dilaksanakan, ramai graduan berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap pada masa hadapan.
“Sehubungan itu, KGKS berpendapat cadangan ini wajar ditolak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Murkam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan had umur persaraan berdasarkan faktor kesihatan dan pengalaman ramai individu berumur 60 tahun ke atas.
Murkam berkata faktor kesihatan dan pengalaman tidak harus dijadikan alasan utama bagi menaikkan had umur persaraan kerana tindakan tersebut boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan belia dan keseimbangan pasaran tenaga kerja negara.






