PITAS: Hampir 10,000 masyarakat menghadiri Ceramah Perdana bertajuk ‘Hidup Mardhatillah, Antara Ibadah, Rezeki, Syukur dan Sabar’ disampaikan penceramah tersohor Indonesia, Ustaz Dr. Das’ad Latiff, di sini, malam semalam.
Sambutan luar biasa ini melebihi daripada dijangkakan pihak penganjur menunjukkan Pitas komited dalam acara keagamaan sekali gus menunjukan program ini mencapai matlamatnya.
Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS), Datuk Harun Ismail berkata, pendekatan bersahaja dan santai menarik perhatian orang ramai sekali gus menjadikan Dr. Das’ad Latiff menjadi tumpuan serta pilihan ramai setiap sesi ceramahnya.
“Sebelum ini, kita hanya dapat melihat dan mendengar ceramahnya hanya di kaca televisyen, forum perdana atau media masa.
“Namun, pada malam ini masyarakat Pitas bertuah dapat melihat beliau bersama dengan kita secara langsung,” katanya dalam ucapannya.
Harun berkata, perancangan untuk menjemput Ustaz Dr. Das’ad Latiff sudah dirancang agak begitu lama dengan berkat keizinan Allah SWT.
“Meskipun beliau mempunyai jadual jemputan yang begitu padat namun beliau tetap memilih daerah Pitas menjadi destinasi jelajahnya pada kali ini.
“Saya menyeru agar masyarakat Pitas sentiasa bersama-sama menyokong majlis keagamaan seumpama ini pada masa depan bagi memastikan ikatan perpaduan, kebersamaan, serta keharmonian terus terpelihara,” jelas Harun.
Menurutnya, beliau mengajak agar semua masyarakat Pitas sentiasa mencari titik persamaan agar berupaya mengadakan majlis sebegini pada tahun akan datang.
“Mudah-mudahan Pitas ini terus subur dengan majlis ilmu agama dan seterusnya diberkati oleh Allah SWT.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Wanita USIA Pitas dengan Kerjasama PDIS komited serta bertungkus lumus memastikan perjalanan majlis berjalan lancar pada majlis ini,” kata Harun.






