KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan kembali meningkat pagi ini ekoran hujan yang turun tanpa henti sejak petang kelmarin.
Daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir pagi ini, selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang dilanda banjir sebelum ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi yang dipindahkan di TUJUH (7) pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.
Tujuh PPS itu dibuka di enam daerah iaitu Pitas, Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang,
Namun, daerah Tuaran dan Papar yang baru mengalami banjir belum ada PPS dibuka di kedua-dua daerah setakat ini.
Di Pitas, hanya satu PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Kusilat yang menempatkan 43 orang daripada 10 keluarga.
Untuk daerah Beaufort, PPS Dewan DSP Mohd Dun Banir menempatkan enam orang daripada tiga keluarga.
Di Paitan pula, dua PPS dibuka iaitu Dewan Binsulung dan Dewan Kg Kubambangan yang mana ia menempatkan 73 orang dari 22 keluarga.
Sementara itu di Kota Kinabalu, PPS dibuka di Dewan Likas yang menempatkan 39 orang daripada enam keluarga.
Di Putatan, PPS Dewan Serbaguna PPR Ketiau, Putatan dibuka bagi menempatkan empat orang dari sebuah keluarga dan di Penampang PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang dibuka bagi menempatkan 11 orang dari sebuah keluarga.
Setakat pagi ini juga, sebanyak 147 kampung terjejas banjir di LAPAN (8) daerah tersebut.
“Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan paras air mula meningkat di daerah terbabit, walaupun tiada mangsa banjir dipindahkan air banjir didapati sedalam 3.03 meter di Tuaran dan 4.89 meter di Papar pada tahap berjaga-jaga dan waspada,” kata Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.