MANILA, FILIPINA – Baldi air dilaporkan menjadi punca rusuhan di sebuah penjara yang sesak Filipina hingga mengakibatkan seorang banduan maut.
Menurut pegawai penjara, Norberto Felicen, kesesakan penjara yang terletak di pinggir Manila itu turut menyumbang kepada pergaduhan antara dua kumpulan banduan.
“Kami mempunyai 3,424 banduan yang ditempatkan di kemudahan yang hanya berupaya menampung kira-kira 800 orang.
“Ia salah satu faktor menyebabkan berlakunya rusuhan,” katanya kepada AFP.
Felicen berkata, ketegangan bermula apabila salah seorang ahli kumpulan ‘Bahala Na’ yang ditahan di penjara Quezon City itu membawa rakannya untuk dirawat di klinik penjara.
Dalam kekalutan, mereka terlanggar baldi berisi air sebelum tumpah mengenai muka salah seorang banduan lain yang sedang tidur.
Banduan berkenaan yang dilaporkan menganggotai kumpulan satu lagi menjadi berang kerana menyangka ia satu bentuk provokasi.
Perkelahian antara dua kumpulan membabitkan perbuatan membaling kerusi dan batu itu berjaya disuraikan, namun berakhir dengan satu kematian.
Penjara Quezon City mendapat perhatian antarabangsa tahun lalu selepas jurufoto AFP merakamkan kesesakan luar biasa di situ dan bertambah buruk, selepas kempen anti dadah Presiden Rodrigo Duterte dilaksanakan.
Rakaman gambar itu mendedahkan tahanan berada dalam keadaan sesak hingga ada yang terpaksa tidur berhimpit di tangga dan gelanggang bola keranjang.
Kajian Dasar Jenayah dilakukan Universiti Institut London menyenaraikan penjara berkenaan di tempat ketiga paling sesak di dunia, lama sebelum Duterte mengambil alih pentadbiran tahun lepas.