KUALA LUMPUR – Penganjur Festival Good Vibes telah memfailkan saman terhadap kumpulan British The 1975 dan semua ahlinya secara individu di mahkamah UK berikutan insiden kontroversi di atas pentas membabitkan vokalis utama Matty Healy pada tahun lepas.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat oleh majalah hiburan Amerika Variety, Future Sounds Asia (FSA) menuntut RM11.25 juta selepas festival itu ditutup kerana tindakan Healy.
Penganjur mendakwa bahawa The 1975 dan pengurusannya menyedari banyak sekatan yang dikenakan ke atas prestasi mereka di Malaysia, termasuk larangan memaki, merokok, minum (arak) serta membuat ulasan politik atau agama.
Pemfailan itu juga menyatakan bahawa kumpulan itu telah membuat persembahan di festival sama pada 2016 dan turut dimaklumkan mengenai peraturan yang sama.
Acara pada 21-23 Julai itu telah dipendekkan selepas Healy mengkritik kedudukan Malaysia dalam komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium rakan kumpulan lelakinya pada hari pertama acara itu.
Aksi lain seperti The Strokes yang sepatutnya bermain pada baki dua hari festival itu turut dibatalkan sekali gus mengecewakan beribu peminat.
Variety juga melaporkan bahawa kumpulan itu masih belum memfailkan pembelaan, manakala wakil The 1975 enggan mengulas mengenainya.