KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan bagi perlaksanaan Program Jaringan Prihatin bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan Internet.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pada Pembentangan Belanjawan 2021 hari ini berkata bermula suku pertama 2021, kira-kira lapan juta penerima daripada golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi.
Beliau berkata, bantuan itu boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
“Pada masa sama, syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma,” tambah beliau.