Pelancongan Sabah Perlu Diambil Kira Dalam Subsidi Diesel Bersasar – Jafry

Pelancongan Sabah Perlu Diambil Kira Dalam Subsidi Diesel Bersasar – Jafry

0
SHARE

KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah wajar diberi pertimbangan khas dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar berikutan kebergantungan tinggi sektor itu terhadap bahan api berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Beliau berkata had 200 liter sebulan adalah tidak mencukupi, khususnya bagi pengusaha di pulau dan kawasan pedalaman yang menggunakan diesel untuk menjana elektrik serta operasi harian.

“Ambil kira industri pelancongan, khususnya pengusaha resort pulau, pengendali bot dan operator marin yang bergantung sepenuhnya kepada diesel,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha tidak layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sekali gus terpaksa menanggung kos operasi tinggi tanpa bantuan.

Katanya, keadaan itu menekan aliran tunai dan menjejaskan kelangsungan perniagaan, lebih-lebih lagi ketika industri belum mencapai musim kemuncak pelancong.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penyertaan sektor pelancongan dalam subsidi diesel bersasar atau menyediakan mekanisme khas yang lebih sesuai.

Jafry berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan bagi memanjangkan isu berkenaan.

Tambahnya, industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi Sabah dan sebarang dasar perlu mengambil kira realiti operasi di negeri ini agar sektor itu terus mampan.