Perkhidmatan MRT, LRT Adalah Percuma Selama Sebulan

Perkhidmatan MRT, LRT Adalah Percuma Selama Sebulan

0
SHARE
Gambar Hiasan...

KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL adalah percuma selama sebulan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu, pada Khamis.

Tambang percuma itu merangkumi perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel serta bas RapidKL.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat…

“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” katanya.

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, melalui penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya, Perdana Menteri berkata, ia akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

Rakyat juga kata Ismail Sabri akan lebih mudah bergerak dan berulang-alik ke tempat kerja, bersosial dan mengakses kemudahan awam yang lain.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” ujarnya.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.

Sembilan stesen baharu yang dibuka ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, serta Sri Delima dan Kampung Batu.

Dalam pada itu, 13 laluan bas perantara juga akan memulakan operasi pada masa sama untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan perumahan dan komersial yang terletak di dalam kawasan berhampiran stesen seperti Bandar Sri Damansara, Taman Ehsan, Taman Kepong serta Bandar Baru Selayang