KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, tindakan terlalu membincangkan bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara.
Beliau berkata, tindakan itu juga akan menjejaskan tumpuan kerajaan terhadap menyelesaikan pelbagai isu dihadapi rakyat termasuk berkaitan kenaikan harga barang yang dipengaruhi ekonomi global.
“Politik negara masih stabil, kita sekarang tumpu kepada pulihkan ekonomi termasuk kenaikan harga barangan dan (isu) bekalan yang kini merupakan fenomena global…
“Kalau terlalu bincang bila PRU15, ia akan memberi kesan kepada kestabilan politik. Kita akan bincang soal ini (PRU15) lebih daripada soal urus negara,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, walaupun masalah ekonomi merupakan isu global, namun kerajaan mahu memberi tumpuan terhadap isu itu supaya kesan kepada negara tidak terlalu teruk.
Ismail Sabri mengulangi kenyataan bahawa tiada mana-mana perdana menteri akan membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka.