KUALA LUMPUR: Bekas perenang para negara, Koh Lee Peng, menarik perhatian ramai selepas dilihat menangis ketika menjual tisu di luar sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang.
Video tular di Facebook menunjukkan wanita berkerusi roda akibat cerebral palsy itu kelihatan sedih dan tertekan ketika berniaga di kawasan berkenaan.
Menurut individu yang memuat naik video tersebut, Koh telah menjual tisu di situ sejak beberapa tahun lalu bagi menyara kehidupannya.
Ramai netizen turut meluahkan rasa simpati selepas mengetahui Koh pernah mewakili Malaysia di Asean Para Games antara 2001 hingga 2005 dengan pencapaian tujuh pingat emas dan tiga perak.
Laporan media menyebut Koh mula menjual tisu sejak 2019 dan sebelum ini menyatakan beliau mahu berdikari serta tidak malu mencari rezeki secara jujur.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Ahmad Shapawi Ismail berkata Koh menerima bantuan kebajikan dan perubatan sejak 2019, termasuk kerusi roda elektrik baharu, rawatan di Hospital Kuala Lumpur serta elaun bulanan sementara RM500 selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.






