SIBU, SARAWAK – Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dipercayai terjatuh ke dalam parit hari ini ditemukan lemas berdekatan rumah keluarganya di Jalan Kwong Ming di sini, kira-kira satu jam selepas dilaporkan.
Menurut TVS, Sia Ching Hang ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dalam parit tidak jauh dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 2.14 petang.
Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Timbalan Penguasa Bomba Abdul Mutalif Ja’afar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.24 tengah hari.
Menurutnya, seramai 10 orang anggota bomba terlibat dalam pencarian mangsa yang juga dibantu oleh sepasukan anggota polis.
“Mayat bayi tersebut ditemukan di lokasi kira-kira 600 meter dari tempat mangsa dipercayai terjatuh,” katanya seperti dipetik TVS lagi.
Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.





