Gagal Kemukakan Maklum Balas, PBM Pecat 13 Individu Termasuk Zuraida Dan Nor...

Gagal Kemukakan Maklum Balas, PBM Pecat 13 Individu Termasuk Zuraida Dan Nor Hizwan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) bertindak menggugurkan dan memecat keahlian bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dan juga setiausaha agung parti berkenaa iaitu. Nor Hizwan Ahmad.

Kedua-dua mereka merupakan antara 13 individu yang digugur dan dipecat daripada PBM serta telah diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Displin PBM pada 19 Disember lalu.

Memetik sumber Berita Harian, pemecatan individu berkenaan kerana gagal mengemukakan maklum balas kepada Jawatankuasa Displin PBM dalam tempoh TUJUH (7) hari.

Selain Zuraida dan bekas pegawainya iaitu Nor Hizwan, PBM turut memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM, Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Menurut laporan FMT, meskipun Timbalan Presiden 1, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dipecat jawatan berkenaan, namun mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.

Unit Penerangan PBM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan terhadap 13 individu berkenaan dilakukan selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin mengadakan perbincangan lanjut hari ini, bersandarkan Perlembagaan parti.

“Mereka diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM…

“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” katanya.