PEMERKASA PLUS: LPKP Mula Salurkan Bantuan ‘one-off’ RM500 Kepada 2,588 Orang Pemandu...

PEMERKASA PLUS: LPKP Mula Salurkan Bantuan ‘one-off’ RM500 Kepada 2,588 Orang Pemandu Pengangkutan Awam

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1 kepada 2,588 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah akan mula disalurkan hari ini (Khamis) oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah yang melibatkan peruntukan RM1.29 juta.

Pecahan jumlah penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merangkumi pemandu teksi dan kereta sewa seramai 1818 orang, diikuti oleh pemandu bas pelancong seramai 391 orang dan seterusnya pemandu bas sekolah seramai 379 orang.

Menurut Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merupakan penerima sedia ada yang telah menerima bantuan PERMAI dan Geran Khas Prihatin (GKP) yang akan menerima bantuan ini secara automatik menerusi akaun bank masing-masing.

“LPKP Sabah juga telah menerima senarai nama bagi 4627 pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4461 orang pemandu Grab, 54 orang pemandu Maxim dan 112 orang pemandu MyCar…

“Jumlah pemandu e-hailing yang layak bantuan selepas saringan oleh LPKP Sabah adalah sebanyak 3690 orang pemandu Grab, 44 orang pemandu Maxim dan 106 orang pemandu MyCar,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Jumlah selebihnya telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) dan lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021.

Chin berkata lagi semakan bagi senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

“Bagi mereka yang tidak layak, rayuan boleh dihantar kepada LPKP Sabah menerusi emel prihatin@lpkpsabah.gov.my beserta dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 9 Ogos 2021…

“Pembayaran bantuan bagi pemandu e-hailing akan dibuat selepas tempoh rayuan ditutup.

“Adalah diharapkan agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini,” tambah beliau.

Chin juga mengingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 daam negara.