KOTA KINABALU, SABAH – Hampir semua warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan termasuk skim gunasama telah menerima suntikan vaksin COVID-19.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, 85 peratus warga Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan telah lengkap menerima suntikan vaksin pada awal bulan April 2021.
Manakala selebihnya 15 peratus (15%) lagi warga dalam proses untuk divaksin mengikut jadual dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Adalah penting bagi memastikan semua warga terutamanya petugas lapangan mendapat suntikan vaksin memandangkan mereka berhadapan dan terdedah kepada risiko jangkitan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan di lapangan…
“Di samping melakasanakan tugas hakiki penguatkuasaan, anggota Maritim juga terlibat membantu pihak KKM untuk memastikan komuniti maritim di pulau-pulau sekitar Sabah tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin,” katanya.
Berikutan itu, anggota Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan mengambil berat mengenai keselamatan, kesihatan dan tugas mereka yang berhadapan dengan risiko dijangkiti virus tersebut.
“Penahanan ke atas bot dan warga asing yang menceroboh perairan negara boleh menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti virus COVID-19…
“Dengan suntikan vaksin tersebut maka ianya menguatkan imunisasi badan anggota yang bertugas di lapangan serta dapat mengurangkan kesan jangkitan virus.
“Maritim Malaysia terus memperkasakan rondaan di sempadan perairan negara khususnya di Pantai Timur Sabah daripada dicerobohi oleh nelayan asing dan membendung kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah agar rantaian COVID-19 ini dapat putuskan selain itu menghalang pertambahan varian virus tersebut di negara kita,” tambah Rosli.