TOKYO, JEPUN – Beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Sow Wooi Yik membuat kejutan apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon pada aksi suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, pagi tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Mushashino Forest Sport Plaza itu, Aaron-Wooi Yik nyata tidak gentar dengan reputasi tinggi dimiliki lawan dari Indonesia berkenaan apabila corak permainan menyerang yang diterapkan sejak awal berjaya memastikan kemenangan ‘straight set’ 21-14, 21-17 sekali gus melangkah ke separuh akhir.
Walaupun di atas kertas pasangan Indonesia itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan dari Malaysia, namun bila di atas gelanggang semuanya tidak mustahil berlaku.
Untuk rekod, ia adalah kemenangan pertama dilakar Aaron-Wooi Yik ke atas Kevin-Marcus selepas tewas semua tujuh pertemuan sebelum ini.