Kunjungan Konvoi KMJG Ke Sekolah Dekatkan Generasi Muda Kepada Semangat Kemerdekaan

Kunjungan Konvoi KMJG Ke Sekolah Dekatkan Generasi Muda Kepada Semangat Kemerdekaan

0
SHARE
Arifin
Ariffin menunjukkan buku lawatan Konvoi KMJG 2023 yang telah ditandatangani beliau sebagai simbolik kepada destinasi persinggahan Konvoi KMJG ke 41 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Kunjungan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) ke sekolah dan institut pendidikan merupakan salah satu cara menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam generasi muda.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata salah satu cara bagi mengisi kemerdekaan adalah dengan menyemai rasa cinta kepada ilmu pengetahuan.

“Dengan menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin akan menjadikan kita individu yang mempunyai akal fikiran yang positif,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau yang juga ADUN Membakut turut menyeru kepada semua ketua-ketua adat dan ketua daerah untuk menggalakkan dan memastikan anak-anak buah di kawasan mereka khususnya di rumah masing-masing untuk mengibar Jalur Gemilang.

“Kepada para pemimpin masyarakat saya juga menyeru agar kita sama-sama memastikan masyarakat pimpinan kita sama-sama menyemarakkan hari merdeka ini dengan sekurang-kurangnya memasang Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing.

“Saya yakin semangat merdeka, semangat kecintaan terhadap tanah air dan patriotik dapat disemai melalui program Konvoi KMJG yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan dan jabatan-jabatan lain di negeri Sabah ini,” katanya ketika merasmikan Program Sambutan Konvoi KMJG Sabah 2023 peringkat Daerah Membakut di Dewan Datuk Paduka Mat Saman, SMK Membakut pada Isnin.

Beliau turut mendoakan agar rombongan Konvoi KMJG Sabah mencapai misinya dalam usaha mengimarahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di negeri ini.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Pegawai Daerah Membakut Ibrahim Terki serta Pengetua SMK Membakut Maturdin Radin serta Pegawai Penerangan Daerah Beaufort, Suhaili Awang. — JABATAN PENERANGAN SABAH