PUTATAN, SABAH – Mangsa kebakaran Kampung Meruntum, di sini, pada Ahad lalu dibenarkan membina semula rumah mereka atas tanah kerajaan itu dengan lebih teratur.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam lawatannya ke Dewan Sri Serigai hari ini meminta 244 orang mangsa terbabit yang juga ditempatkan di Dewan Sri Keramat untuk terus bersabar.
“Sebagai kerajaan kita amat prihatin dan memberi bantuan untuk meringankan bebanan yang mereka tanggung…
“Kita akan meminta pegawai daerah untuk memastikan bahawa susunan rumah-rumah mereka dibuat dengan baik dan dipantau wakil rakyat kawasan terbabit,” katanya kepada media.
Tegas beliau hanya mangsa kebakaran sahaja dibenarkan peluang ini.
Mangsa kebakaran, Dindin Tahir, 59, runsing memikirkan nasibnya selepas tamat seminggu tempoh berteduh di pusat pemindahan sementara itu.

Setelah menghabiskan tiga malam di dewan tersebut bersama isterinya, realiti kelam di mana beliau kini seorang yang tidak mempunyai rumah semakin mencengkam.
“Lima dari tujuh anak saya sudah menetap di Kuala Lumpur dan yang kekal di Sabah juga berada dalam keadaan yang susah…
“Mereka mempunyai anak dan keluarga sendiri. Saya dan isteri tidak sanggup menambah beban mereka,” katanya sambil menahan sebak.
“Saya mengucap ribuan terima kasih kepada sumbangan tidak terputus dari pihak kerajaan dan beberapa hamba Allah…
“Saya merasa amat gembira dan terubat sedikit hati sayu ini. Segalanya amat mencukupi,” katanya kepada SabahNews.
Dalam lawatan 3 petang tadi, Hajiji telah menyampaikan bantuan wang ihsan daripada Kerajaan Negeri Sabah berjumlah RM500 untuk setiap KIR (Ketua Isi Rumah).
Sementara itu Majlis Ugama Islam Sabah telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM 48,000, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, RM10,000.