390 Kanak-Kanak Di Beaufort Telah Menerima Vaksin

390 Kanak-Kanak Di Beaufort Telah Menerima Vaksin

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Ibu bapa disaran untuk membawa anak mereka yang berumur 5 hingga 12 tahun mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di klinik kesihatan yang berhampiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam juga menyeru para bapa supaya memainkan peranan dalam membantu isteri masing-masing untuk membawa anak ke pusat vaksinasi memandangkan mereka berkemungkinan sibuk menguruskan hal rumah tangga.

Tiga hari daripada 16 Feb, seramai 390 kanak-kanak berusia antara 5 dan 12 tahun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Pa’ Musa, di sini.

Pada mulanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cawangan Beaufort bercadang untuk menjalankan vaksinasi di sekolah-sekolah.

“Tetapi kebanyakan sekolah-sekolah ditutup kerana jangkitan yang tinggi di kalangan pelajar di daerah Beaufort,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd.

“Saya mencadang agar ibu bapa membawa anak-anak mereka yang layak untuk menerima vaksin ke klinik kesihatan (KK) yang terdapat dalam kawasan Lumadan iaitu KK Kg. Padas Damit, KK Kg. Gadong, KK Kg. Kebajang, KK Kg. Lobak dan KK Kg. Lingkungan…

“Klinik-klinik kesihatan lain yang ada dalam daerah Beaufort antaranya KK Kg. Limbawang dan KK Kg. Pilajau,” katanya lagi.

“Saya juga mencadangkan agar pihak KKM menyediakan petugas untuk bertugas dan membuka kaunter khas untuk tujuan vaksinasi di setiap KK,” ujarnya.

Ruslan mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort, Doktor Natazca Abd Rahim serta para petugas kesihatan yang begitu komited melaksanakan tanggungjawab mereka agar kadar vaksinasi mencapai 50 peratus pada penghujung bulan ini.

Beliau juga menyeru agar rakyat di kawasan Lumadan berwaspada memandangkan kadar jangkitan COVID-19 semakin tinggi di seluruh negeri Sabah.