Utamakan Keperluan Infra Kudat Dari Pembinaan Patung Mazu – ABIM

Utamakan Keperluan Infra Kudat Dari Pembinaan Patung Mazu – ABIM

0
SHARE
Hilmie
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam (ABIM) Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus ( Sumber Foto: Ihsan ABIM )

KOTA KINABALU, SABAH – Yang Dipertua Angkatan Belia Islam (ABIM) Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus menggesa kerajaan negeri untuk menghormati sejarah daerah Kudat dan mengutamakan keperluan infranya dari terus fokus kepada pembinaan patung Mazu (dewi laut Cina).

Katanya, isu pembinaan patung berkenaan yang telah menjadi perbualan mutakhir ini sudah dibincangkan sejak 15 tahun yang lalu lagi.

“Pelbagai pihak telah membantah pembinaan patung tersebut kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan mengganggu gugat keharmonian agama dan suku kaum di Sabah.

“Kudat adalah sebuah daerah yang mempunyai penduduk Islam sebagai majoriti. Sejarahnya ia adalah pusat penempatan British yang pertama sekitar tahun 1773 iaitu lebih awal daripada Pulau Pinang (1786), Singapura (1819) manakala Melaka (1824).

“Namun, penempatan tersebut diserang dan dimusnahkan oleh tokoh pejuang Datu Tating semasa peristiwa pertempuran di Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775.

“Kemudian pada era tahun kemerdekaan pula, tokoh yang disanjungi Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun yang berasal daripada Kampung Limau-Limauan, Kudat juga merupakan pejuang awal dalam menentang pendudukan Jepun dan terlibat secara langsung dalam proses kemerdekaan.

“Melihat kepada sejarah penting ini, adalah merupakan satu pengkhianatan kepada tokoh-tokoh ini dengan membawa elemen luar yang berunsurkan agama dan budaya asing ke dalam Kudat semula walau atas dasar pelancongan sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menegaskan bahawa usaha seharusnya diberi keutamaan untuk mengurangkan jurang kemiskinan di Kudat dan daerah-daerah berahmpiran yang agak mundur dari segi pembangunan.

“Sebelum membuat keputusan untuk mendirikan patung Mazu ini, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan dahulu perasaan majoriti penduduk.

“Cadangan seperti laluan kereta api, pelabuhan dan paip gas ke Kudat patut diutamakan untuk menarik pelabur-pelabur asing ke kawasan utara Sabah yang rata-ratanya amat memerlukan pembangunan dan penambahan peluang pekerjaan.

“Menangani masalah air sepatutnya menjadi senarai tindakan utama kerana hal ini sudah menjadi masalah krisis dalam kalangan rakyat Sabah. Masalah jalanraya tidak terkecuali daripada masalah utama Sabah.

“Pelancong-pelancong dari segenap penjuru Negara dan rantau Asia datang melancong ke Sabah, tetapi dipersembahkan jalanraya yang teruk dan berlubang serta inap desa (homestay) yang mengalami gangguan bekalan air. Situasi ini akan menjejaskan nama Sabah sebagai senarai tempat pelancongan di mata dunia,” katanya.